21 November 2012


KOTA BHARU – Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) bangga menjadi tuan rumah Karnival Amal Islami 2012 yang berlangsung di Nilam Puri, Isnin lalu. Pengerusi Jawatankuasa Publisiti dan Penerbitan, Huzaini Hashim berkata, KIAS sangat berbangga kerana terpilih menjadi tuan rumah untuk karnival tahunan itu. 

“Kami bangga menjadi tuan rumah kali ini dan pelbagai aktiviti akan dijalankan sepanjang karnival berlangsung,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semasa pendaftaran peserta karnival semalam. 

Menurut beliau, sembilan kontinjen menyertai karnival amal tersebut seperti Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Institut Pengajian Tinggi Johor (Marsah), Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR), Kolej Islam Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB), Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), International Islamic College, Pusat Asasi Matrikulasi UIA (CFS,IIUM.PJ) dan juga Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS). 

Karnival Amal tahunan kali ke-4 itu merupakan kerjasama antara Insttitut Pengajian Tinggi Islam Malaysia (IPTIM) Peringkat Kebangsaan dan disertai oleh 500 orang peserta. “Program ini berlangsung selama tiga hari bermula 12 hingga 14 November di sini dan aktiviti pertama yang akan dilakukan ialah pertandingan keceriaan masjid berdekatan dengan kolej kami,”katanya. 

Huzaini berkata, selain itu, karnival tersebut turut dipenuhi dengan aktiviti seperti Hafazan dan Tilawah Al-Quran, Pidato, Khutbah, Nasyid dan juga Debat ala parlimen yang dijalankan dalam dua bahasa iaitu bahasa arab dan bahasa Malaysia. “Selain itu, kami juga mengadakan persidangan pimpinan mahasiswa IPTIM yang bertujuan untuk membincangkan kerjasama dalam menganjurkan program pembangunan akademik dan syakhsiah mahasiswa.

“Persidangan yang berbentuk forum itu juga dalam masa yang sama membantu mendedahkan mahasiswa terhadap kepentingan dan kaedah membina hubungan diperingkat global,” katanya. Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) yang ditubuhkan pada tahun 1965 adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dikendalikan oleh KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB), anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN). Huzaini berkata, KIAS juga berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam program ini dan orang ramai juga dijemput hadir untuk memeriahkan lagi karnival tersebut.














Feedback Form