11 April 2011


Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) adalah sebuah Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang dikendalikan oleh KIAS Darulnaim Sdn Bhd (KDSB) anak syarikat Yayasan Kelantan Darulnaim (YAKIN).

Idea Penubuhan KIAS adalah merupakan salah satu inspirasi Kerajaan Negeri yang bercita-cita memusatkan Kelantan sebagai serambi perkembangan ilmu Islam terkenal di rantau ini khususnya menerusi penyediaan institusi-institusi pengajian dalam pelbagai jurusan.

Penubuhan KIAS merupakan kesinambungan dari Pusat Pengajian Tinggi Islam (PPTIK) Nilam Puri yang telah ditubuhkan pada tahun 1965. Pusat ini kemudiannya dikenali dengan nama Yayasan Pengajian Tinggi Islam Kelantan (YPTIK) sehinggalah pada 1 April 1981 YPTIK telah diambil alih oleh Universiti Malaya dan ditukar nama kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Usaha dan kesedaran peri pentingnya pengajian Islam tidak pernah luntur apabila sekali lagi Kerajaan Negeri melalui Yayasan Islam Kelantan (YIK) telah menubuhkan Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah pada 1994 di mana idea penubuhannya dicetuskan oleh YAB Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Menyahut perkembangan pendidikan kontemporari yang kian pesat, Maahad Ad-Dakwah Wal Imamah dirangka semula dalam kombinasi yang lebih dinamik dengan penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) pada tanggal 24 Ogos 1999 yang dirasmikan oleh KDYMM Al-sultan Kelantan.

KIAS diawal operasinya menawarkan tiga program pengajian peringkat Diploma iaitu Diploma Al-syariah, Diploma Usuluddin dan Diploma Al-Dakwah Wal Qiadah. Walau bagaimanapun, mulai sesi 2002/2003 KIAS telah menambah program pengajiannya kepada dua peringkat Ijazah Sarjana Muda iaitu Sarjana Muda Al-Syariah dan Sarjana Muda Usuluddin (2+2) dengan Universiti al-Azhar, Mesir. Kemudian diubah kepada Ijazah Sarjana Muda Al-Syariah dan Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (3+1) dengan Universiti al-Azhar, Mesir.

KIAS sentiasa berusaha untuk membuka ruang kepada para pelajar yang tidak mendapat tempat di mana-mana IPT samada IPTA atau IPTS dengan menawarkan beberapa program pengajian lagi pada tahun 2009 iaitu Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (4+0) dengan KUIN dan Ijazah Sarjana Muda Syariah (4+0) dengan KUIN seterusnya pada tahun 2010, KIAS menawarkan pula beberapa program di peringkat Diploma iaitu: Diploma Qiraat dan Tarannum, Diploma Tahfiz Al-Quran serta Diploma Kewangan Islam.

Untuk memberi ruang kepada pelajar-pelajar yang hanya mendapat 1 kredit di peringkat SPM, pihak KIAS menawarkan program Sijil Pengajian Islam setelah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, lepasan daripada program Sijil Pengajian Islam ini layak untuk menyambung pengajian mereka di peringkat Diploma atau bagi mereka yang ingin terus bekerja selepas menamatkan pengajian di peringkat Sijil Pengajian Islam, mereka layak untuk ditawarkan SKIM gaji setara dengan lepasan STPM sebagaimana surat yang dikeluarkan oleh pihak JPA kepada pihak Kolej.

Sejak ditubuhkan sehingga kini, KIAS terus-menerus mengorak langkah dengan kemasukan pelajar dari seluruh Malaysia dan juga antarabangsa yang sentiasa meningkat dari setahun ke setahun serta dipayungi oleh barisan staf akademik yang berjumlah seramai 52 orang pendidik dan staf pentadbiran seramai 42 orang. Seramai 11 orang daripada barisan pensyarah adalah berkelulusan Doktor Falsafah, 21 orang berkelulusan Sarjana dan bakinya Sarjana Muda dalam pelbagai jurusan yang giat mendidik para pelajar KIAS yang menjangkau hampir 1000 orang pelajar.

Justeru itu, bertepatan dengan misi dan visi kias, Pusat Khidmat Akademik ditubuhkan pada 1 Februari 2010 bertindak sebagai penyelaras kepada kursus-kursus guna sama yang ditawarkan pada semua program pengajian seperti kursus-kursus Wajib MQA, Wajib Kolej dan kursus-kursus elektif. Usaha ini adalah untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja mampu menguasai bidang yang dipelajari tetapi mereka juga dilatih dengan ilmu-ilmu kemahiran yang lain sebagai tambahan dan pelengkap kepada ilmu yang mereka pelajari di dalam jabatan masing-masing di samping ilmu-ilmu asas major yang telah ditetapkan oleh pihak kolej untuk setiap program yang ditawarkan. Usaha yang dilakukan ini untuk melihat bahawa graduan-graduan yang dilahirkan di KIAS bukan sahaja mantap dari sudut ilmu yang dipelajari oleh mereka, tetapi mereka juga mempunyai penampilan dan syakhsiah yang baik serta mampu berdaya saing untuk menangani pelbagai masalah yang mereka hadapi semasa mereka berkerjaya kelak.

Objektif penubuhan jabatan ini adalah untuk mencapai matlamat berikut:
  • Menyelaras perjalanan kursus-kursus guna sama untuk setiap program seperti Al-Quran, Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Jahitan, Khat, Falak, Kewartawanan, Wajib MQA dan sebagainya supaya berjalan dengan baik.
  • Menjalankan kursus-kursus ke arah meningkatkan lagi penguasaan para pelajar di dalam kursus-kursus guna sama seperti di atas.
  • Memastikan para pelajar supaya dapat menguasai kursus-kursus yang ditawarkan dengan baik bukan semata-mata untuk pencapaian akademik mereka, tetapi ia juga sangat bermanfaat untuk pembangunan masa depan dan kerjaya mereka kerana sebahagian yang ditawarkan adalah kursus-kursus kemahiran.
Kursus Jabatan:

Kursus-kursus yang diajarkan di jabatan ini adalah bersesuaian dengan syarat-syarat yang ditentukan oleh Jabatan Pendidikan Tinggi Swasta dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sebagai sebuah agensi yang mengawal dan memperakukan program-program yang ditawarkan di peringkat IPT supaya mencapai tahap yang telah ditetapkan sebagai sebuah program pengajian tinggi di peringkat IPT, disamping mengambil kira kesesuaianya dengan fakulti yang sama di Universiti al-Azhar dan lain-lain universiti. Walau bagaimanapun Jabatan ini tidak menawarkan program pengajian tertentu kerana ia lebih kepada kursus-kursus guna sama untuk semua program yang ditawarkan oleh KIAS. Kumpulan subjek guna sama yang dipantau oleh Jabatan ini adalah sebagaimana berikut:

        i.    Al-Quran dan Tajwid
        ii.   Bahasa Arab.
        iii.  Bahasa Inggeris.
        iv.  Subjek-subjek Wajib MQA seperti Bahasa Kebangsaan A, Pengajian Islam dan
              Pengajian Malaysia.
        v.   Subjek-subjek Elektif seperti Jahitan, Khat, Kemahiran IT Lanjutan, Falak, Kewartawanan,
              Bahasa Cina, Qiraat dan Keusahawanan.

Aktiviti Jabatan :
  1. Menjalankan kursus-kursus intensif Bahasa.
  2. Menangani pelajar-pelajar yang lemah di dalam kursus-kursus yang dijalankan dengan menganjurkan bengkel-bengkel pemulihan.
  3. Memberi pendedahan kepada para pelajar untuk membuat pemilihan di dalam kursus-kursus elektif.
Prospek Kerjaya :
  1. Dengan adanya kemahiran tambahan yang diberikan kepada para pelajar, graduan-graduan KIAS mampu memenuhi pelbagai bentuk kerjaya semasa berada bersama dengan masyarakat.
  2. Pelajar-pelajar dapat menggunakan kemahiran jati diri dengan baik.
  3. Para pelajar dapat membuktikan bahawa mereka mempunyai kemahiran yang berbeza dengan graduan-graduan lain di samping mempunyai syakhsiah yang tinggi.
  4. Para pelajar dapat membuktikan bahawa bidang yang mereka ceburi, bukannya satu bidang yang sempit dan terbatas tetapi bidang-bidang berkenaan mampu berinteraksi dengan bidang-bidang yang lain dengan baik. 
Misi :

Menyediakan perkhidmatan akademik yang mantap dan profesional untuk melahirkan graduan yang progresif, berilmu, bertaqwa dan berakhlak mulia seiring dengan kehendak kolej.

Visi :

Menyediakan perkhidmatan akademik yang mantap dan profesional untuk melahirkan graduan yang progresif, berilmu, bertaqwa dan berakhlak mulia seiring dengan kehendak kolej.


PIAGAM PELANGGAN
PUSAT KHIDMAT AKADEMIK

1. Bertanggungjawab menyelaraskan subjek guna sama di setiap Jabatan Akademik.

2. Mengendalikan kursus-kursus pengukuhan kemahiran bahasa.

3. Menyediakan kursus-kursus kemahiran tambahan yang lengkap.

4. Menyediakan perkhidmatan akademik yang terbaik.















Feedback Form